SHAH ALAM: Kementerian Luar mendesak rejim zionis Israel supaya segera membebaskan kesemua rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotila 2.0 (GSF 2.0).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 25 rakyat Malaysia terlibat dalam insiden penahanan tersebut, dengan sebahagian mereka ditahan ketika berada di luar laut Cyprus dan bukannya memasuki perairan Israel.
Tegasnya, penahanan kesemua peserta GSF 2.0 adalah bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Kita mendesak agar pihak rejim zionis Israel memberikan layanan yang sempurna kepada mereka dan membebaskan mereka dengan segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Mereka tidak menceroboh dalam perairan Israel tetapi mereka jauh di luar. Tetapi mereka dipintas dan ramak rakyat negara lain yang turut sama ditahan oleh rejim zionis Israel,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini selepas tiba dari Myanmar bagi lawatan kerja ringkas.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye serta rakan sejawatnya, Hakan Fidan, atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan.
“Ada lima orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak Greece kerana kapal mereka karam. Mereka nak bawa balik kapal tetapi melanggar batu karam.
“Tiga orang peserta telah dibebaskan, manakala dua orang kapten dan penolong kapten ditahan dan dibicarakan tetapi mahkamah telah membebaskan. Mereka semua telah balik ke Istanbul,” ujar Mohamad lagi
Hari ini, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang berada di 15 kapal GSF 2.0 antara yang ditahan selepas puluhan kapal bantuan kemanusiaan dilaporkan dipintas tentera laut rejim zionis Israel ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby berkata sebanyak 40 kapal flotila yang melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan telah dipintas dan diceroboh setakat 3 petang tadi.-Astro Awani
