Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan peruntukan bagi kegiatan sukan dan kebajikan atlet akan tetap dipelihara walaupun negara berdepan kekangan kewangan.

Perdana Menteri mahu, kebajikan atlet terus diberi tumpuan, termasuk dari segi latihan dan kemudahan yang disediakan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan bidang sukan negara ini dapat terus dijayakan, susulan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan atlet, termasuk mencapai prestasi lebih baik, berbanding unjuran.

“Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya beri jaminan dan beritahu Taufik (Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari) dalam mesyuarat Jemaah Menteri, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tidak ada potongan.

“Saya ingat atlet ini bimbang sikit, susah hati (jika peruntukan dipotong). Jangan bimbang. Itu bukan masalah saya dan bukan masalah anda, itu masalah menteri.

“Jadi, mudah-mudahan kita lihat kejayaan terus di negara kita. Kita sudah capai tahap yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di sini hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan sebarang lebihan peruntukan untuk tujuan kebajikan atlet.

“Jika mahu jayakan sukan, olahraga negara ini, tumpuannya mestilah kebajikan atlet.

“Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa dan mudah serta tempat latihan lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Turut disampaikan, Anugerah Olahragawan Paralimpik kepada atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin, manakala Anugerah Olahragawati Paralimpik kepada atlet para renang, Lim Carmen.-BH Online