Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama 2026 berpotensi mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini.

Anggaran awal DOSM sebelum ini menunjukkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata unjuran awal yang dikongsikan sebelum ini dibuat secara konservatif kerana ketika itu masih terdapat jurang dalam beberapa data ekonomi utama yang belum dimuktamadkan.

“Daripada segi unjuran atau anggaran yang kita kongsikan sebelum ini melalui (DOSM), masih ada beberapa perkara yang belum dapat diputuskan sepenuhnya kerana terdapat sedikit kesenjangan data.

“Jadi, apabila data terkini diumumkan esok, saya menjangkakan pertumbuhan sebenar suku pertama tidak akan jauh daripada unjuran awal, malah berkemungkinan lebih baik daripada anggaran sebelum ini,” katanya mengulas mengenai jangkaan prestasi suku pertama 2026 yang akan diumumkan esok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran laporan ‘Malaysia Economic Monitor 2026’ bertajuk ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ yang dikeluarkan Bank Dunia. 

Menteri Ekonomi berkata, kerajaan memantau rapat perkembangan krisis bekalan global yang sedang berlaku ketika ini, termasuk ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada momentum pertumbuhan.

Katanya, secara peribadi beliau cenderung untuk ‘menurunkan sedikit nada optimistik’ dalam membuat jangkaan pertumbuhan bagi mengelakkan anggaran yang terlalu agresif dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis prestasi ekonomi negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini masih menunjukkan daya tahan yang baik.

“Saya harap keputusan sebenar nanti lebih kukuh,” katanya.-BH Online