KUALA LUMPUR: Kabinet mengecam keras kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang disifatkan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sama sekali tidak boleh diterima.
Fahmi berkata, Kabinet menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan pihak berkuasa agama untuk menyiasat perkara itu.
“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.
“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Hari ini, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Kenyataan itu mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin PAS sendiri, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menggesa Nik Zawawi bertaubat.-BH Online
