Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meletak sasaran melaksana pendigitalan sepenuhnya di semua fasiliti kesihatan awam sebelum 2029, sekali gus menghapuskan budaya ‘berperang’ dengan birokrasi dan timbunan kertas kerja yang membebankan. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau faham dan mengakui, beban kerja yang berat serta tekanan mental yang membelenggu petugas kesihatan adalah realiti yang memerlukan ‘pembedahan’ menyeluruh.

“Kita mahu doktor kembali kepada tugas hakiki iaitu merawat pesakit. Fokus KKM sekarang bukan lagi sekadar memberikan penjelasan, tetapi mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan. 

“Kita sedang memperbaiki sistem ini agar lebih prihatin, mengangkat digniti, dan memulihkan maruah setiap petugas kesihatan di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, menamatkan era ‘Doktor Kontrak’ adalah langkah pertama yang kritikal, namun ia bukanlah penyelesaian muktamad. 

Sejak 2023, kata beliau lebih 14,000 pegawai perubatan telah dilantik ke jawatan tetap dan sebagai kesinambungannya, 4,500 lagi jawatan tetap untuk pegawai perubatan akan ditawarkan pada tahun ini. 

“Ini adalah komitmen fiskal Kerajaan demi memastikan doktor muda kita mempunyai masa depan yang stabil,” katanya. 

Melalui pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) juga katanya, KKM memperkukuh Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan.

“Dengan sasaran 13,000 doktor pakar menjelang 2030, kita mahu tenaga pakar kita dihargai dan kekal berkhidmat di tanah air sendiri. 

“Iltizam saya dan seluruh warga KKM sangat jelas, menamatkan era doktor kotrak. Kita sedang membina sebuah sistem yang mampan, manusiawi, dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.-BH Online