KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan kebenaran merancang (KM) bagi sebarang permohonan pembangunan di kawasan kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata keputusan itu diambil susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya berbaki sekitar 30 peratus daripada saiz asal.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius keadaan membabitkan 17 lot tanah kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu yang sudah diberi hak milik kepada pemaju sejak 2015.
“Kira-kira 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air itu sudah diserah milik untuk tujuan pembangunan sehingga menyebabkan kapasiti asal kolam semakin berkurangan.
“Jumlah keluasan asal adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah hak milik, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan.
“Kerisauan kita adalah jika semua kawasan itu dibangunkan, kapasiti badan air akan terus berkurangan,” katanya pada sidang media di Menara DBKL di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Kerja penyelenggaraan kolam takungan jadi sukar
Hannah berkata, penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati keadaan itu menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir selain menyukarkan kerja penyelenggaraan.
Katanya, jentera juga tidak dapat memasuki kawasan tertentu untuk kerja penyelenggaraan kolam.
“Kita tidak boleh terus membenarkan pembangunan di kolam takungan banjir.
“Sehubungan itu, DBKL tidak akan meluluskan kebenaran merancang bagi sebarang pembangunan sehingga syarat teknikal ditetapkan JPS dipenuhi termasuk memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan.
“Pemilik tanah masih boleh memohon pembangunan, namun mereka perlu membuktikan semua syarat teknikal mampu dipenuhi,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, satu pasukan petugas khas dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain diwujudkan bagi menyelaras tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur bersama pelbagai agensi berkaitan.
Katanya, pasukan itu turut bekerjasama dengan kerajaan Selangor memandangkan penyelenggaraan sungai membabitkan kawasan rentas negeri.
Sementara itu, Fadlun berkata, kerja pengorekan kelodak di Sungai Toba dipertingkatkan daripada dua kali setahun kepada enam kali setahun bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
“Kawasan tumpuan utama banjir ketika ini adalah Sungai Toba dan Sungai Kerayong, kita akan terus bekerjasama dengan JPS untuk meneliti kawasan lain yang memerlukan pendekatan sama,” katanya.
Intensiti hujan sangat tinggi
Dalam pada itu, Fadlun berkata hujan berintensiti sangat tinggi dalam tempoh singkat menjadi antara punca utama banjir kilat di beberapa kawasan ibu kota, baru-baru ini.
Menurutnya, pada 6 Mei lalu, stesen hujan Universiti Malaya merekodkan intensiti hujan 96.5 milimeter dalam tempoh sejam, melebihi paras amaran JPS iaitu 60 milimeter dalam tempoh dua hingga empat jam.
“Keadaan itu menyebabkan paras sungai meningkat mendadak dan sistem perparitan tidak dapat menampung aliran air secara optimum.
“Sebagai contoh, Sungai Toba merekodkan bacaan 43.14 meter melebihi paras bahaya 42.8 meter hingga menyebabkan kejadian air bertakung di Segambut Dalam,” katanya.
Beliau berkata, kejadian di Kuchai Lama dan sekitar Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil juga berpunca daripada hujan berintensiti tinggi sehingga menyebabkan paras air sungai dan kawasan tadahan meningkat mendadak.
Tumpuan 14 hotspot banjir sekitar ibu kota
Fadlun berkata, DBKL kini memberi perhatian khusus terhadap 14 hotspot banjir di sekitar ibu kota termasuk Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Bulatan Dato Onn, Brickfields, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Cheras dan Jalan Genting Klang.
Menurutnya, jumlah hotspot banjir dapat dikurangkan daripada lebih 30 lokasi kepada 14 lokasi hasil pelaksanaan projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran secara berterusan.
“Pelbagai tindakan sudah dan sedang dilaksanakan termasuk penyelenggaraan kolam takungan banjir, pengorekan kelodak sungai dan parit induk, pembersihan saliran serta penaiktarafan sistem perparitan.
“DBKL juga menubuhkan Task Force Hotspot Banjir Kilat Kuala Lumpur dan task force khas ‘potholes’ (lubang benam) bagi tindakan segera ketika hujan lebat dan selepas hujan reda,” katanya. -BH Online
