Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan memperluaskan kerjasama strategik dalam sektor kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri, tenaga boleh baharu dan pembangunan bakat dalam usaha memacu pertumbuhan industri baharu itu di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hubungan dua hala dengan China kini melangkaui diplomasi tradisional dan berkembang sebagai perkongsian ekonomi kukuh yang merangkumi perdagangan, pelaburan, pembuatan, infrastruktur, teknologi serta pembangunan modal insan.

Katanya, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi tahun ke-17 berturut-turut sehingga tahun lalu, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM541.90 bilion.

“Namun, apabila dunia memasuki era perindustrian baharu, Malaysia dan China perlu melangkaui hubungan perdagangan semata-mata dan kini memilih untuk membina industri masa depan secara bersama.

“Malaysia memiliki kedudukan strategik, asas industri yang semakin berkembang serta tenaga kerja muda yang boleh dilatih, manakala China pula memiliki kekuatan teknologi, skala industri dan kepimpinan terbukti dalam industri tenaga baharu.

“Malaysia sudah membuat keputusan yang jelas dan negara tidak mahu kekal sebagai pengguna pasif dalam peralihan ini. Sebaliknya mahu menjadi peserta aktif dalam ekosistem EV dan tenaga bersih serantau,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Forum Malaysia-China Mengenai Pembangunan Bakat dan Inovasi EV, Bateri dan Tenaga Baharu (MCEF 2026).

Sepanjang tahun lalu, jualan global kenderaan elektrik mencecah kira-kira 21 juta unit, iaitu satu daripada setiap empat kereta baharu yang dijual di seluruh dunia dengan China terus menerajui peralihan ini dengan pengeluaran melebihi 16 juta kenderaan tenaga baharu, manakala di ASEAN-6, jualan kenderaan elektrik dan elektrifikasi meningkat 62 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Menjelaskan lebih lanjut Ahmad Zahid berkata, tiada negara mampu membina ekosistem EV, bateri atau tenaga baharu yang kukuh tanpa tenaga kerja mahir untuk menyokong, justeru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi agenda strategik negara.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan China dengan memperuntukkan lebih RM500 juta bagi melahirkan lebih ramai pelajar TVET menerusi institusi Malaysia–China Institute (MCI) yang kini beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, Perak.

“Setakat ini MCI sudah menerima EV baharu yang ditempatkan untuk mengajar pelajar TVET dan pihak China juga akan menghantar banyak lagi peralatan untuk pembelajaran pada masa akan datang.

“Kerjasama ini bukan terhad dalam pembinaan teknologi pemasangan tempatan (CKD), tetapi komponen pengeluaran dan juga peralatan yang diperlukan oleh industri di China,” katanya.

Sementara itu, pembangunan kampus tetap baharu MCI yang lebih besar akan dibina di atas tanah seluas 24 hektar.-BH Online