Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Malaysia mahu menjadi negara pembiak anjing pengesan (K9) yang kemudian boleh dieksport ke United Kingdom (UK) dan negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Filipina serta Indonesia dan negara lain.

Ia susulan kejayaan kali pertama Pusat Latihan Operasi Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bertam, Pulau Pinang membiakkan baka anjing itu di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata hasrat itu boleh dicapai berikutan JBPM mempunyai pegawai yang pakar dalam melatih anjing pengesan.

Beliau berkata, anak anjing jantan jenis Labrador tempatan diberi nama Brave itu dilahirkan induknya, Lottie pada 5 April lalu.

“Seekor anjing K9 baka Labrador bernama Lottie yang diselia pegawai bomba, Nelson Karupak, selamat melahirkan seekor anaknya yang saya namakan ‘Brave’ dengan harapan ia bakal menjadi wira berkaki empat yang berani serta gagah menjalankan tugas penyelamatan,” katanya pada Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, kelahiran Brave mampu menjimatkan kos pembelian anjing berkenaan dari Birmingham, UK yang kebiasaannya menelan kos kira-kira RM150,000 seekor.

“Dulu unit K9 mendapat anjing dari tempat pusat pembiakan di Birmingham yang mana anjing itu dibesarkan dan dilatih di sana baru hantar balik ke negara kita.

“Sebab itu saya ada sasaran supaya pasukan bomba kita dapat melatih membiak unit K9 sendiri sebagai baka tempatan.

“Wawasan saya satu hari nanti kita boleh eksport balik anjing K9 ke UK, selain negara ASEAN seperti Singapura Thailand Filipina Indonesia dan lain-lain,” katanya.

Kor Ming berkata, menyedari kepentingan Unit K9, kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari UK.

Katanya, buat masa ini, JBPM memiliki 34 ekor anjing pengesan dan masih memerlukan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi yang optimum.-BH Online