SEBANYAK 89 daerah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai ‘hotspot’ banjir menjelang peralihan Monsun Timur Laut, bermula November ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersiap siaga memberi tumpuan pelaksanaan banjir di kawasan ‘hotspot’ yang 77 daripadanya adalah kawasan sering berlaku bencana itu.
Katanya, kebanyakannya membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“NADMA sudah diarah memantau pelaksanaan persiapan banjir khususnya di daerah berisiko besar kerana berdasarkan data Monsun Timur Laut tahun lalu, sebanyak 89 daerah di seluruh negara dilanda bencana ini.
“Daripada jumlah itu, ada 77 daerah dilanda banjir berulang dalam tempoh Monsun Timur Laut bermula November 2022 hingga Mac lalu, sama ada lokaliti kampung yang sama atau berbeza tetapi dalam daerah sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Simulasi Bencana Rakan NADMA di Putrajaya, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Armizan turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah supaya mempergiatkan persiapan serta mekanisme bagi menghadapi risiko banjir.
Menurutnya, jawatankuasa di peringkat daerah juga diarah melaksanakan mesyuarat segera dengan membabitkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.
“Seperti yang kita tahu pengurusan bencana ini ada tiga peringkat iaitu pusat, negeri dan daerah. Jawatankuasa di peringkat daerah ini lebih dekat dengan rakyat dan sebab itu kita mahu mereka sentiasa bersiap siaga.
“Saya masih menerima aduan bahawa ada wakil rakyat pembangkang tidak dilibatkan dalam mesyuarat ini walaupun Perdana Menteri sudah memaklumkan bahawa dalam soal pengurusan bencana, amat baik dilibatkan semua wakil rakyat,” katanya.
Walaupun negara masih belum beralih ke Monsun Timur Laut, Armizan berkata, kejadian banjir tetap berlaku apabila sebanyak tujuh pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah membabitkan lima negeri setakat semalam.
“Biarpun kita kini berada di fasa peralihan dan belum memasuki Monsun Timur Laut, tujuh PPS dibuka membabitkan 589 mangsa setakat ini,” katanya.
Ditanya mengenai peruntukan yang boleh disalurkan berkaitan banjir, Armizan berkata, semua keperluan berkaitan bencana bergantung sepenuhnya di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
“Sekiranya kejadian bencana berlaku dan berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, secara automatik kita boleh menggunakan KWABBN yang dikawal selia oleh NADMA.
“Sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir dengan pelbagai kategori yang sudah ditambah baik,” katanya.
Armizan menambah, berdasarkan rekod, sebanyak RM500 juga bantuan disalurkan kepada mangsa dalam tempoh Monsun Timur Laut pada November 2022 hingga Mac lalu. -Media Perpaduan