KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, bergantung sepenuhnya kepada situasi politik semasa serta perkenan Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun tempoh pentadbiran Melaka dan Johor bakal berakhir tidak lama lagi, keputusan akhir tertakluk kepada kuasa ketua negeri berdasarkan nasihat Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Bagi saya perkara ini tertakluk kepada persetujuan Raja-Raja dan TYT (Tuan Yang Terutama) atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri yang mempunyai kuasa untuk pembubaran.
“Tentunya (selain itu) ia juga melihat tentang dana (kewangan) yang boleh digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya negeri. Kosnya terlalu tinggi dan kalau diadakan serentak pun kos yang sama dibelanjakan, selain soal timing dan kesesuaian waktu”, katanya dalam temu bual sempena Ulang Tahun ke-80 UMNO, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PRU16 wajar diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor, dalam keadaan negara berdepan krisis bekalan global serta langkah penjimatan kerajaan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar ahli parti agar tidak terlalu selesa, kerana sokongan daripada ahli UMNO dan parti komponen sahaja tidak menjamin kemenangan mutlak.
“Jadi kita mesti mendakap dan merangkul dukungan daripada mereka yang non-partisan atau yang belum menjadi ahli mana-mana parti atau tidak berminat, tetapi yakin dengan agenda yang kita ketengahkan untuk kepentingan semua kaum di negeri-negeri berkenaan ataupun di dewan undangan negeri yang kita akan letakkan calon kita,” katanya.-BH Online
