Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan krisis kepercayaan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini hampir berakhir.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO menjelaskan, penyelesaian dijangka dimuktamadkan menerusi rundingan Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung minggu depan.

Beliau juga menegaskan, tindakan 14 ADUN UMNO/BN menarik sokongan dan hilang kepercayaan kepada ADUN PKR Sikamat itu hanya atas kapasiti Aminuddin sebagai Menteri Besar, tanpa berkait dengan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

“Hal ini hampir berakhir kerana isunya bukan mahu ‘tebuk atap’. Tarik sokongan hanya kepada Menteri Besar, bukan tarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Itu banyak orang silap, 14 ADUN itu tetap dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi (tarik) sokongan kepada Menteri Besar itu tetap (hilang kepercayaan),” katanya dalam temu bual khas bersama wartawan Media Prima sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO, di sini semalam.

Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, beliau sudah mendapatkan maklum balas pimpinan UMNO Negeri Sembilan, selain merujuk tokoh undang-undang adat di negeri itu bagi mendapatkan kejelasan menyeluruh di sebalik krisis yang tercetus.

“Masalahnya apabila institusi adat dan juga undang-undang tubuh negeri itu tersentuh, maka itu yang menjadi isu utama sebenarnya, tetapi ia sudah disalah tafsir.

“Biarpun orang di Negeri Sembilan sendiri yang merasakan bahawa undang-undang tubuh negeri mesti dihormati, sistem Undang (Yang Empat) juga mesti dihormati.

“Saya berbincang dengan pegawai dan tokoh undang-undang adat termasuk Tan Sri Dr Rais Yatim. Jadi, saya jelas mengenai perkara itu dan UMNO, saya nasihatkan, tidak harus campur jika ada polemik mengenai perkara itu,” tambahnya.

Serah kepada PH 

Ditanya sama ada UMNO mahu Menteri Besar Negeri Sembilan daripada PH itu ditukar dengan ADUN lain, Ahmad Zahid berkata, ia terserah kepada pimpinan PH. 

“Kalau itu dapat difahami, kita akan murnikan dalam perjumpaan, apa yang kita panggil majlis rundingan yang akan melibatkan Biro Politik kami (UMNO) dan Biro Politik mereka (PH) yang akan bermesyuarat minggu depan.

“Kita serahkan kepada pihak PH untuk menentukan (sama ada Menteri Besar wajar ditukar atau tidak). Mereka (pimpinan PH) tahu apa masalah sebenarnya dan mereka tahu apa punca permasalahan itu,” katanya.

Aminuddin ketika ini memimpin kerajaan minoriti di Negeri Sembilan, sekali gus menjejaskan kelancaran pentadbirannya untuk membuat keputusan dasar, termasuk berkaitan sebarang pindaan dan kelulusan enakmen di DUN.

Situasi di Negeri Sembilan menyaksikan beberapa insiden menggugat pentadbiran negeri, paling ketara sidang DUN dirasmikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis minggu lalu dan sepatutnya bersambung minggu ini, ditangguh ke tarikh lain.

Krisis institusi adat di negeri itu mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak menggunakan kuasa untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak pula didakwa sudah dipecat.

Pada masa sama pula, 14 ADUN UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar atas alasan gagal menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.

Meskipun hilang sokongan BN dalam DUN, Aminuddin dititah oleh Tuanku Muhriz meneruskan tugas mentadbir negeri sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat sehingga kejelasan isu tercetus itu diselesaikan.-BH Online