PUTRAJAYA, 30 April – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah apabila kos keseluruhan temasya itu akan dikurangkan hampir separuh daripada peruntukan asal.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta keperluan memastikan pembangunan atlet negara terus diperkasa.
Beliau menegaskan, fokus utama penganjuran adalah untuk mencapai matlamat asal temasya tanpa pembaziran, selaras dengan garis panduan penjimatan yang telah ditetapkan.
“Paling penting ialah memastikan SUKMA mencapai tujuan asalnya. Tiada acara berskala besar akan diadakan, selaras dengan langkah penjimatan kerajaan yang turut dilaksanakan dalam pelbagai sektor,” katanya selepas mesyuarat SUKMA 2026 di Menara KBS, hari ini.
Sementara itu, EXCO Belia dan Sukan Selangor, Najwan Halimi memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka langkah pengurangan kos dengan menumpukan kepada pemotongan elemen tidak kritikal, khususnya acara bersifat seremonial.
Menurutnya, daripada peruntukan asal RM100 juta, kos penganjuran dijangka dikurangkan kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.
“Sebahagian besar pengurangan melibatkan acara seremonial. Kita sedang meneliti kaedah terbaik untuk memastikan penjimatan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek utama temasya,” katanya.
Langkah penjimatan itu termasuk mengecilkan skala majlis pembukaan dan penutup serta mengurangkan jumlah sukarelawan. Namun, aspek teknikal pertandingan akan tetap dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh kementerian.
Dalam masa sama, SUKMA 2026 terus mengekalkan peranannya sebagai platform pembangunan atlet muda, dengan penekanan terhadap pencarian bakat baharu bagi memperkukuh masa depan sukan negara.
Walaupun dianjurkan dalam skala lebih sederhana, temasya itu dijangka kekal sebagai medan penting dalam melahirkan atlet berpotensi tinggi di peringkat kebangsaan.-Berita RTM
