Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Malaysia kekal dengan pendirian akan terus mengawasi keselamatan Selat Melaka yang menjadi laluan penting dan strategik perdagangan dunia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada masa sama, katanya, negara ini tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan unilateral terhadap kawasan maritim itu kerana Malaysia bertanggungjawab terhadap kepentingan rakyat dan perdagangan dunia.

“Buat masa sekarang, dari segi pendirian `centrality’ (kepusatan), kita mengambil pendirian mengikut kepentingan negara. Kita sentiasa peka dengan kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi.

“Konflik di Asia Barat, khususnya di Selat Hormuz memberi isyarat jelas kepada kita. Selat Hormuz adalah laluan bagi 20 peratus bekalan tenaga dunia manakala baki 80 peratus melalui Selat Melaka.

“Oleh itu, pendekatan kita adalah untuk mengekalkan status keamanan,” katanya pada sidang media Program Jelajah Wira MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Saifuddin Nasution berkata bagi menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan kedaulatan dan keselamatan, Maritim Malaysia akan meningkatkan dedikasi dan profesionalisme dalam kalangan warga maritim.

Katanya, sokongan daripada kerajaan untuk Maritim Malaysia meningkatkan keupayaan aset, teknologi, latihan dan kebajikan.

“Daripada segi aset, kita sedang menunggu siapnya dua kapal misi pelbagai guna (MPMS) yang sedang dibina di Türkiye, masing-masing bernilai RM400 juta sebuah.

“Pada masa sama, kita juga sedang menanti empat pesawat helikopter AW189 yang disempurnakan perolehannya dengan anggarkan RM700 juta.

“Sebuah lagi remote sensor site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh bernilai RM88 juta. Jika dihitung, jumlahnya sudah mencecah lebih RM1 billion yang diharap meningkatkan keupayaan demi keselamatan dan ketenteraman awam ,” katanya.-BH Online