Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat, serta menjalin kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan menyerahkan keputusan paling penting kepada mana-mana pihak luar.

Beliau berkata, pendirian itu selari usaha negara memperkukuh kedudukan dalam landskap teknologi global yang semakin kompetitif.

“Malaysia sedang mengangkat transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras utama strategi pembangunan negara.

“Usaha menguasai teknologi baharu perlu dilaksanakan dengan lancar, berfokus dan pantas bagi mengelakkan negara ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Inovasi dan Makmal AI Huawei di sini, hari ini.

null

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan kemajuan teknologi tidak boleh menyebabkan jurang yang lebih besar antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Katanya, pendekatan pembangunan AI mesti berteraskan rakyat dengan memastikan akses yang saksama kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan luar bandar.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan nilai moral dan harga diri dalam menghadapi arus kemajuan teknologi.

“Teknologi baharu termasuk AI tidak boleh menyebabkan kita kehilangan nilai kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Huawei atas keyakinan berterusan terhadap Malaysia serta sokongan dalam pelbagai inisiatif pembangunan teknologi.

Beliau berkata, kerjasama yang meliputi latihan, pendedahan dan perkongsian kemudahan mencerminkan hubungan strategik yang kukuh antara kedua-dua pihak.

Mengulas perkembangan AI, beliau berkata, teknologi itu kini sedang mengubah pelbagai aspek kehidupan termasuk pengeluaran, sistem kewangan dan proses membuat keputusan.

Namun, Perdana Menteri memberi amaran kemajuan berkenaan turut membawa risiko, termasuk potensi ancaman terhadap keselamatan sistem dan infrastruktur.

Sehubungan itu, katanya Malaysia menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan serta sedang membangunkan rangka kerja tadbir urus dan perlindungan data yang bersesuaian.

Beliau menegaskan Malaysia tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berhasrat membina keupayaan sendiri dan bersaing dengan yakin dalam ekonomi digital global.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru generasi muda bersedia menghadapi cabaran era baharu ini dengan kebijaksanaan, selain menekankan bahawa masa depan teknologi bergantung kepada nilai dan keputusan manusia.-BH Online