ARAU: Kerajaan sedang meneliti penyelesaian menyeluruh berhubung kaedah kemasukan pelajar daripada sekolah bukan aliran kebangsaan ke universiti awam (UA) di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata penyelesaian membabitkan semua sekolah yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan termasuk aliran agama seperti maahad tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah aliran Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Berikutan itu, katanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini mengadakan pertemuan bersama wakil aliran terbabit bagi melihat penyelesaian terbaik dalam tempoh jangka panjang.
“Kerajaan sedaya upaya mahu pastikan supaya ada mesti penyelesaian menyeluruh, tidak melibatkan hanya satu aliran (sahaja). Kita tidak mahu mengambil pendekatan ‘ad hoc’ di mana bila timbul masalah, baru kita hendak selesaikan.
“Biar kita ambil pendekatan untuk selesaikan semua masalah rakyat dan sistem pendidikan yang ada, (sebagai contoh) bagaimana ruang untuk pelajar seperti dari maahad tahfiz untuk melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Zambry berkata, proses perbincangan setakat ini belum dimuktamadkan memandangkan terdapat proses teknikal perlu diselesaikan, namun pihaknya berharap keputusan mengenainya dapat disegerakan.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meleraikan kontroversi berkaitan syarat kemasukan ke UA.
Terdahulu pada majlis sama, Zambry merasmikan bangunan tetap Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UniMAP serta melancarkan Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).
Bangunan PKU yang dibangunkan dengan kos RM12.33 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu siap sepenuhnya Ogos 2024, menawarkan perkhidmatan kesihatan komprehensif serta inklusif kepada warga kampus.
FKC diterajui Prof Azremi Abdullah Al Hadi adalah gabungan Jabatan Komputer dan Jabatan Matematik bagi memperkukuh bidang pendidikan berteraskan teknologi digital serta kecerdasan buatan.
Pada majlis sama, Zambry menyaksikan penyerahan sumbangan industri kepada UniMAP berjumlah RM7.04 juta daripada tujuh syarikat korporat terdiri Festo Sdn Bhd, NanoMalaysia, SIEMENS, Infineon Technologies, Oppstar, Keysight dan 3D Gens Sdn Bhd.-BH Online
