Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM, 19 April– Malaysia kini giat meneroka potensi bahan api bio berasaskan sisa getah dan minyak sawit sebagai sumber tenaga alternatif baharu, susulan krisis tenaga global yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahan api bio berasaskan sisa getah yang kini berada dalam fasa percubaan awal oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menunjukkan potensi besar untuk dikembangkan secara komersial.

Selain sisa getah, negara juga mempunyai loji pengeluaran biodiesel berasaskan minyak sawit dengan kapasiti pengeluaran B15 hingga B50.

“Ketika ini terdapat 19 loji pengeluaran biofuel, sama ada B15 hingga B50. Kita juga akan memanfaatkan sludge atau by-product daripada pengeluaran minyak sawit mentah (CPO), di mana kira-kira 35 peratus sludge ini akan digunakan sepenuhnya untuk penghasilan biofuel serta bahan api penerbangan (Jet A1).”

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan, cadangan mengenainya telah dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi melihat kebolehlaksanaan secara meluas.

“MTEN pada dasarnya telah menerima cadangan tersebut dan pelaksanaannya akan diselaraskan bersama agensi serta syarikat berkaitan bagi memastikan kos pengeluaran lebih rendah melalui sinergi industri,” katanya.

Potensi pengeluaran secara besar-besaran dianggarkan mampu mencecah sekitar 1.5 juta liter sebulan, sekali gus boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga alternatif negara.

Tambahnya, biodiesel berkenaan telah melalui ujian kebolehlaksanaan (pilot test) dan turut diuji oleh PETRONAS serta beberapa syarikat pengeluar kenderaan bagi memastikan kesesuaian penggunaannya dalam pelbagai jenis kenderaan di negara ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas merasmikan pasar raya RisSMart Grocer di Shah Alam, Selangor.

Turut hadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib.-Berita RTM