KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa hanya 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini menjadi wilayah Indonesia, bukan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menerusi satu kenyataan berkata, laporan media pada 15 April lalu bertajuk “127.3 hektar Pulau Sebatik kini milik Indonesia” adalah tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Indonesia.
“Pemuktamadan jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, pengurusan keselamatan, perancangan pembangunan serta pengurusan tanah dan sumber dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” jelas beliau.
NRES juga menegaskan bahawa keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung-rugi.
Tambah Arthur, penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik ini telah dibuat secara berpakej dengan penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Sg. Sinapad dan Sg. Sesai di mana Malaysia telah memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini menjadi wilayah Malaysia.
Jelasnya, hasil dari penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik pula, Malaysia memperoleh perluasan wilayah seluas lima hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia.
Pemuktamadan jajaran sempadan ini telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Republik Indonesia pada 18 Februari 2025, sekali gus menandakan satu pencapaian signifikan kepada rundingan dan kerjasama teknikal yang telah berlangsung selama lebih 45 tahun.
Penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang telah ditandatangani antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda pada 20 Jun 1891.
Berdasarkan Artikel IV perjanjian tersebut, jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ditetapkan di sepanjang garisan latitud 4º 10’ Utara.
Pada tahun 1983, hasil semakan teknikal dilapangan secara bersama Malaysia-Indonesia telah mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan yang direkodkan dilapangan berbanding dengan Boundary Convention 1981.-Astro Awani
