Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Oleh: Noraini Nordin

Pesona kepimpinan Datok Seri Anwar Ibrahim terus menyinar dalam usaha memastikan kesejahteran rakyat Malaysia yang kini sedang dilindungi daripada kesan buruk Krisis Tenaga Global.

Usaha gigih PMX diakui pemimpin-pemimpin dunia dan hari ini seorang lagi ketua negara asing melawat Malaysia, kali ini Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

Ketibaan Albanese pagi tadi disambut Anwar Ibrahim dan maljis sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan Malaysia dan Australia.

Albanese kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat), yang diketuai Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin.

Selesai upacara itu, Albanese menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan ke pertemuan empat mata dengan Anwar, diikuti dengan mesyuarat dua hala melibatkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara.

PERTEMUAN EMPAT MATA MENUMPUKAN KEPADA USAHA MEMPERKUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA

Dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia Albanese, Malaysia dan negara Kanggaru itu menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran keselamatan tenaga yang semakin meningkat pada ketika ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Kedua-dua pemimpin yang disegani ini membincangkan konflik di Asia Barat serta kesan limpahannya terhadap pasaran tenaga global, khususnya potensi gangguan kepada rantaian bekalan tenaga dan laluan perdagangan antarabangsa yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serantau.

Perbincangan tersebut turut meliputi konflik di Asia Barat serta kerjasama dalam memastikan keselamatan tenaga dan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan kelangsungan bekalan barangan keperluan asas, termasuk bahan api, dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik global yang kian berubah.

Selepas mesyuarat, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi bidang berkepentingan bersama serta mengadakan sidang media bersama bagi mengumumkan hasil perbincangan dan menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Australia.

Antara perkara yang dipersetujui adalah Australia akan mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memacu kerjasama dalam bidang tenaga antara kedua-dua negara, terutamanya dalam gas asli cecair (LNG).

Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).

PERKONGSIAN STRATEGIK KOMPREHENSIF

Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, bagi mengembangkan lagi kerjasama merentasi tiga tonggak utama: kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Dengan hubungan Malaysia dan Australia semakin mengukuh hasil lawatan ini, tidak dinafikan bahawa banyak manfaat jangka panjang bakal diperolehi oleh rakyat.

MALAYSIA AKAN SENTIASA MENJADI RAKAN YANG BOLEH DIPERCAYAI KEPADA AUSTRALIA

PMX dalam sidang media bersama, memaklumkan bahawa Malaysia akan sentiasa menjadi rakan yang boleh dipercayai kepada Australia serta komited untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk tenaga, perdagangan dan pertanian.

Jelas PMX lagi, ini dipaksikan menerusi hubungan dua hala yang kukuh terjalin selama ini lantas perbincangan hari ini membolehkan kedua-dua negara meningkatkan kerjasama merangkumi perdagangan, pelaburan dan pertanian, dengan isu tenaga menjadi antara fokus utama.

Malaysia dan Australia berkongsi hubungan saling bergantung yang kukuh dalam sumber tenaga, termasuk bahan api dan gas asli cecair (LNG).

PMX turut menghargai pendirian Australia yang menyeru penamatan permusuhan di Gaza, menyokong bantuan kemanusiaan serta berusaha ke arah penyelesaian berkekalan.

“Usai, kami menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Department of Agriculture, Forestry and Fisheries Australia yang andara lain bakal meningkatkan akses pasaran bagi kedua-dua negara, selain memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian termasuk perkongsian kepakaran,’’ kata PMX.

Terbukti dengan jelas, semenjak Anwar menjadi Perdana Menteri, satu perkara yang nyata ialah ramai ketua negara asing berminat melawat negara ini, selain Perdana Menteri sendiri rajin melakukan lawatan rasmi ke banyak negara lain.

Bermakna, lebih banyak manfaat melimpah kepada rakyat dan negara.-Media Perpaduan