PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka garis panduan komprehensif bagi memastikan arena sukan elektronik (e-sukan) di Malaysia berkembang dalam persekitaran selamat dan terkawal.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan melibatkan wakil kementerian, agensinya Esports Integrated serta Kementerian Pendidikan bagi menggubal garis panduan berkenaan, sekali gus menjamin ekosistem e-sukan yang lebih sihat di negara ini.
“Sekiranya kita tidak menyediakan platform yang selamat untuk anak muda bermain e-sukan dan sebagainya, mereka akan tetap main.
“Kita tidak boleh menghalang. Apa yang penting ialah menyediakan platform serta membimbing mereka ke arah penglibatan e-sukan yang lebih sihat dan positif,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya, di sini.
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut dianggotai pakar termasuk doktor perubatan dan psikiatri.
“Pakar terlibat akan memberi penjelasan kepada anak muda mengenai tempoh masa sesuai untuk bermain, selain keperluan berehat serta cadangan melakukan aktiviti fizikal,” katanya.
Malaysia sebelum ini meraih pingat emas dalam acara e-sukan pada Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi kategori Hearthstone oleh Dr Yew Weng Keng, manakala pencapaian terbaharu adalah pada Sukan SEA 2025 di Thailand menerusi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berpasukan wanita.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata penyediaan platform e-sukan yang selamat mampu memastikan kebajikan atlet sedia ada, di samping membantu menggilap bakat baharu.
Katanya usaha memperkasa bakat bukan sekadar untuk penyertaan dalam kejohanan, malah bertujuan memastikan atlet negara terus mencipta kejayaan cemerlang termasuk meraih pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Menyentuh potensi industri e-sukan, beliau berkata Malaysia perlu lebih proaktif merebut peluang dalam sektor yang berkembang pesat itu bagi mengelakkan ketinggalan dalam arus pemodenan global.
Katanya perkembangan pesat e-sukan turut menarik minat pelabur asing, sekali gus menuntut kesiapsiagaan negara untuk terus bersaing serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. – BERNAMA
