KOTA SAMARAHAN: Kerajaan mengambil pendekatan berbeza mengikut tahap kadar air tidak berhasil (NRW) di setiap negeri bagi memastikan pengurusan bekalan air dapat ditambah baik secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia berikutan kadar NRW di Malaysia kini berada pada purata 34.3 peratus, dengan beberapa negeri mencatatkan kadar melebihi 40 peratus.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, bagi negeri yang mencatatkan NRW melebihi 40 peratus, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan geran bagi membantu menaik taraf infrastruktur termasuk paip dan peralatan berkaitan sistem agihan air.
“Bagi negeri yang berada di bawah 40 peratus pula, mereka perlu melaksanakan pelaburan terlebih dulu sebelum Kerajaan Persekutuan membuat padanan berdasarkan jumlah penjimatan dicapai,” katanya pada sidang media Program Skuad PETRA Zon Sarawak di Masjid Darul Malihah Kampung Bukit Berangan, di sini, hari ini.
Mengenai model perniagaan baharu yang dicadangkan dalam usaha mengatasi isu NRW mencapai sasaran 28.8 peratus menjelang 2030, Fadillah berkata, cadangan oleh pemegang taruh sektor utiliti air masih pada peringkat penelitian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beliau berkata, keputusan muktamad belum dibuat kerana sebarang model yang diperkenalkan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri kerana kebanyakan syarikat utiliti air dimiliki kerajaan negeri.
“Sebarang perubahan model perniagaan akan memberi kesan kepada tarif air dan ini perlu diteliti dengan menyeluruh kerana akhirnya ia membabitkan beban kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, pada Program Skuad PETRA itu, beliau mengadakan lawatan ke beberapa projek utiliti air termasuk meninjau projek pam air di Kampung Sungai Lumut, Santubong; projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kampung Sinjan dan Kampung Gersik serta di Kota Sentosa dan Stakan.
“Projek RTB Stakan yang bermula April 2022 siap sepenuhnya pada Ogos 2024 dengan kos RM10 juta, manakala RTB fasa ketiga bernilai RM97.2 juta siap pada Disember 2023 dan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak hari ini,” katanya.
Fadillah berkata, bagi projek RTB Sibu, fasa ketiga sudah siap, manakala fasa keempat dan kelima masih pada peringkat awal dengan anggaran kos masing-masing melebihi RM120 juta dan RM474 juta.
Beliau berkata, projek utama di Kuching membabitkan RTB Fasa Dua yang turut merangkumi kawasan Samariang, dengan kos keseluruhan dianggarkan RM2.6 bilion kini menunggu kelulusan Jemaah Menteri.-BH Online
