KUALA NERUS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 45 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu melalui media sosial, setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sama ada dikenakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah.
Beliau berkata, individu didapati bersalah boleh dikompaun hingga RM250,000.
“Jika didakwa dan sabit kesalahan di mahkamah pula, pesalah boleh dihukum denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC sudah mengambil pelbagai tindakan untuk membendung penyebaran berita palsu melalui media sosial, termasuk mengarahkan kandungan terbabit diturunkan.
Selain itu, beliau berkata, pemilik akaun media sosial terbabit akan dikenal pasti dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Fahmi berkata, sebanyak 386 kandungan berita palsu dikesan, setakat ini.
Daripada jumlah itu, katanya, 118 kandungan adalah berkaitan isu bahan api, tarif elektrik (45) dan dakwaan pembayaran tol kepada Iran (147).
“Selain itu, terdapat 15 kandungan fitnah mendakwa Malaysia menjual diesel kepada Filipina,” katanya.-BH Online
