Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Lebih lima juta rakyat Malaysia kini hidup dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tetapi hanya lima peratus daripada mereka menyedari perkara itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah, katanya, CKD merupakan antara cabaran kesihatan terbesar dihadapi generasi di negara ini kini.

Beliau berkata, prevalens CKD di Malaysia melonjak secara drastik daripada sembilan peratus pada 2011 kepada 15.5 peratus tahun lalu.

“Setiap hari, seramai 28 rakyat Malaysia didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang dan terpaksa memulakan rawatan dialisis.

“Beban ini bukan saja meragut kualiti hidup, tetapi turut memberi impak kewangan yang sangat hebat kepada negara.

“Pada 2010, Malaysia membelanjakan RM572 juta untuk rawatan penyakit buah pinggang tahap akhir. Hari ini, kos itu melonjak kepada RM3.3 bilion setiap tahun.

“Jika kita gagal bertindak dengan berani pada hari ini, menjelang 2040, lebih 106,000 rakyat Malaysia akan memerlukan rawatan dialisis,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sebahagian besar kes kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah didorong oleh komplikasi penyakit diabetes.

“Sebab itulah Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Kempen Perangi Gula secara besar-besaran. Kerajaan telah menaikkan kadar Cukai Minuman Bergula (SSB) kepada 90 sen seliter mulai 1 Januari 2025.

“Hasilnya, kutipan duti eksais minuman bergula pada 2025 mencecah RM54.9 juta, dengan RM21 juta ‘ditindik’ serta disalurkan kembali kepada KKM.

“Dana ini digunakan sepenuhnya untuk pembiayaan ubat Sodium-Glucose Transport Protein 2 (SGLT2) inhibitors, satu rawatan berinovasi tinggi yang terbukti mampu merawat pesakit Diabetes Mellitus, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi CKD,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM mengorak langkah proaktif menerusi pengukuhan Dasar PD-First (Peritoneal Dialysis First) yang menggalakkan pesakit berkelayakan untuk memulakan rawatan dialisis di rumah.

“Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pesakit, mengurangkan kesesakan di pusat rawatan, serta menjimatkan kos penjagaan kesihatan.

“Pada 2025, KKM memperuntukkan RM40 juta khusus bagi rawatan dialisis peritoneal. Peratusan pesakit menjalani rawatan PD di fasiliti KKM meningkat kepada 42 peratus pada 2025 berbanding 36.6 peratus pada 2020.

“Seramai 3,161 pesakit telah menerima manfaat rawatan PD secara langsung di fasiliti KKM,” katanya.-BH Online