GOPENG: Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula 15 April ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada produktiviti mereka.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata kakitangan awam perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan bermula hari pertama tugasan diberi dan hasilnya yang dinilai penyelia pada hari akhir kerja.
Penggunaan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) oleh Jabatan Digital Negara (JDN) bagi merekod kehadiran sepanjang tempoh BDR juga, dapat mengatasi isu kakitangan awam ‘mengular’ (culas).
“Setiap jam kita tetapkan penjawat awam yang BDR untuk dia ‘check-in’ (daftar masuk) dalam aplikasi ‘SPOT-Me’. Jadi tiada isu (mengular) sebenarnya kerana mereka tetap akan dipantau dengan rapi setiap jam.
“Paling penting dalam BDR ini adalah output yang dihasilkan. Kita tetapkan apa yang perlu mereka capai apabila bekerja di rumah pada Selasa, Rabu dan Khamis,” katanya.
Beliau ditemui pada Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Sambutan Raya bersama penduduk Kampung Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan BDR juga bukan sesuatu yang janggal kerana sudah dilaksanakan ketika pandemik COVID-19.
“Saya percaya yang dari segi produktiviti ini (BDR) tidak akan terjejas kerana dalam BDR juga elemen ‘trust’, kepercayaan antara majikan dan pekerja mesti ada,” katanya.
Sementara itu, JPA menerusi kenyataan berkata Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA kini memasuki tahun ketiga pelaksanaan sejak diperkenalkan pada 2024.-BH Online
