KUANTAN, 1 April – Kerajaan Negeri Pahang akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) selama dua hari seminggu secara giliran kepada penjawat awam negeri berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas mengambil kira keresahan rakyat serta cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Langkah tersebut bertujuan membantu mengurangkan beban kos harian termasuk perbelanjaan perjalanan, bahan api, tol, makan dan minum serta keperluan urusan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat. Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan dasar itu akan dipantau melalui prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan tiada gangguan terhadap produktiviti serta mengelakkan sebarang kekosongan dalam penyampaian perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan lain untuk meneliti pendekatan kerja yang lebih fleksibel termasuk pelaksanaan BDR, mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
Tempoh pelaksanaan dasar ini akan ditentukan dari semasa ke semasa.-Berita RTM
