KUALA LUMPUR: Polis akan memohon hukuman lebih berat terhadap pesalah trafik yang memandu dalam keadaan membahayakan termasuk mengakibatkan kehilangan nyawa.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, polis mengambil serius kejadian kemalangan maut pada jam 11.30 pagi, 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat, Klang, membabitkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
“Pendekatan ini adalah selaras dengan usaha berterusan pihak JSPT dalam memperkukuhkan aspek penguatkuasaan serta memberi mesej jelas bahawa sebarang bentuk kecuaian di jalan raya yang mengorbankan nyawa tidak akan dikompromi,” katanya kepada BH hari ini.
Mohammed Hasbullah berkata, dalam kejadian itu, pemandu kereta yang juga seorang juruteknik, R Saktygaapathy, 28, telah memasuki laluan bertentangan semasa cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus di laluannya.
“Pemandu itu telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berkhemah.
“Sikap bertanggungjawab di jalan raya amat penting dalam memastikan aspek keselamatan semua pihak,” katanya.
Sebelum ini, tertuduh yang diuji dalam pemeriksaan polis mendapati positif alkohol dan dadah, ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Tertuduh turut didakwa memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, jam 3.30 petang, pada hari sama.-BH Online
