Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT KAYU HITAM, 29 Mac – Kawalan di pintu sempadan negara akan diperketat bagi membanteras ketirisan serta memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi susulan ketidaktentuan global.

Langkah itu termasuk pelaksanaan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April ini bagi menjamin bekalan kepada rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat kuasa (Operasi) KPDN, Shamsulnizam Khalil berkata operasi bersepadu bersama pelbagai agensi akan dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api.

Beliau berkata kawalan di pintu sempadan akan diperketat melalui pemeriksaan terhadap kenderaan keluar masuk, stesen minyak, stesen tanpa subsidi serta pemborong.

“Risikan, pemeriksaan dan pemantauan secara intensif turut dilaksanakan di kawasan tumpuan sebagai langkah mencegah penyelewengan barang kawalan,” katanya selepas melakukan pemantauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini.

Shamsulnizam turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi konflik semasa.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan subsidi yang disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara.

“Penguatkuasaan juga meliputi pemeriksaan ke atas stesen minyak serta mengesan penyalahgunaan kad subsidi diesel atau fleet card bagi mengaut keuntungan secara haram,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bermula 1 April ini, KPDN turut melaksanakan kawalan penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kawalan itu dibuat mengikut kategori kenderaan dengan had antara 50 hingga 150 liter bagi setiap transaksi.

Langkah itu bertujuan memastikan bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalahgunakan oleh sindiket atau pihak tidak layak.

Sementara itu, Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 hingga 27 Mac lalu merekodkan 38,615 pemeriksaan dengan 1,371 kes dikesan serta 667 tangkapan.

Sebanyak RM32.08 juta nilai rampasan direkodkan membabitkan pelbagai barang kawalan dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM146.02 juta.-Berita RTM