Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di selatan Lubnan selamat walaupun beberapa insiden letupan berlaku berhampiran kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata insiden letupan itu berlaku susulan ketegangan antara Israel Defense Forces (IDF) dan Hezbollah, namun tiada anggota MALBATT yang terjejas atau cedera.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama sentiasa memantau perkembangan semasa khususnya di kawasan penugasan MALBATT 850-13 dengan keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan.

“Markas UNIFIL di Naqoura turut memantau keadaan secara berterusan serta mengeluarkan arahan kepada semua pasukan pengaman agar sentiasa berjaga-jaga.

“Langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan termasuk rondaan berjadual, peningkatan tahap kesedaran situasi serta komunikasi rapi antara unit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata MALBATT 850-13 terus melaksanakan tugasan di kawasan tanggungjawab dengan tahap kesiapsiagaan tinggi.

“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama rapat dengan UNIFIL dan rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan tugasan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik dalam keadaan semasa,” katanya.-BH Online