Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pembelian petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan bagi tujuan persendirian perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata syarat itu ditetapkan bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pembelian menggunakan Permit Khas ini adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas sahaja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.

“Mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh dan kekerapan belian yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan Permit Khas boleh dibuat melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my

Permit Khas itu percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan. 

Beliau berkata terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas daripada KPDN iaitu forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pendalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan dan pembinaan berskala kecil.

“Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak di dalam tong di stesen minyak kecuali untuk kes kecemasan sahaja dan kuantiti dibenarkan adalah di bawah 20 liter sahaja,” katanya.

Azman berkata KPDN mengambil maklum mengenai isu tular di media arus perdana dan laman sosial berhubung pengisian petrol ke dalam tong yang berlaku baru-baru ini.

Beliau berkata di bawah peruntukan undang-undang AKB 1961, setiap stesen minyak yang berurusniaga minyak petrol dan diesel dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kepada tangki asal kenderaan berkenaan atau yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan; dan mana-mana pihak yang mendapat kebenaran Permit Khas dari KPDN di bawah peruntukan undang-undang. – BERNAMA