PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diarah menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Arahan itu yang juga sebagai sebahagian daripada langkah yang digariskan KPM, bertujuan mengelakkan kejadian tidak diingini ketika negara dilanda musim panas ketika ini
KPM dalam kenyataan hari ini turut mengarahkan pengurusan institusi pendidikan bawahnya memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Murid juga diarahkan untuk memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan membawa air minuman sendiri.
“Semua institusi pendidikan KPM diminta meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal Satu,” katanya.
Pengurusan institusi pendidikan KPM juga diarahkan untuk menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
Selain itu, pengurusan institusi berkaitan juga diarahkan untuk membekalkan air minuman kepada murid asrama jika keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
Pengurusan juga diminta sentiasa bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan bagi memudahkan tindakan susulan sekiranya berlaku sebarang komplikasi terhadap murid akibat cuaca panas.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM perlu peka situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
“Pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas perlu diberi berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
BH hari ini melaporkan, pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim menjangkakan tahun ini bakal merekodkan suhu paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang, dilaporkan berkata, Malaysia berpotensi mengalami cuaca panas Tahap 3 atau gelombang haba ekstrim dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Bagaimanapun keadaan itu masih bergantung kepada beberapa faktor cuaca termasuk kehadiran fenomena El Nino yang kuat.
Beliau juga dilaporkan berkata, rekod terdahulu menunjukkan suhu tertinggi negara pernah mencecah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998.-BH Online
