Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 2,384 rakaman kesalahan lalu lintas menerusi penggunaan dron sepanjang tiga hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang bermula 16 Mac membabitkan empat kesalahan utama.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, empat kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai punca kemalangan jalan raya iaitu memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan atau memotong kenderaan dari sebelah kiri, serta menggunakan lorong kecemasan.

Katanya, kesalahan paling tinggi yang direkodkan ialah memotong di garisan berkembar iaitu sebanyak 715 kes, diikuti tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong barisan atau memotong kenderaan dari sebelah kiri (539 kes) dan menggunakan lorong kecemasan (503 kes).

“Sementara itu, kesalahan paling banyak dikesan ialah di kawasan Lembah Klang, Kelantan dan Selangor.

“JPJ akan menghantar notis temu siasat kepada semua pesalah yang dirakam melakukan kesalahan berkenaan dan bagi mereka yang mengaku bersalah serta membuat bayaran dalam tempoh 15 hari akan menikmati pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus, iaitu RM150. Namun, jika bayaran dibuat selepas tempoh itu, jumlah kompaun boleh meningkat sehingga RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Ops Khas Motosikal Sempena HRA 2026 di Akademi JPJ Wilayah Timur, Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, penggunaan dron berkeupayaan tinggi adalah bagi menyokong operasi penguatkuasaan, khususnya di lokasi panas yang dikenal pasti.

“Penggunaan dron ini dilengkapi dengan spesifikasi teknikal berkeupayaan tinggi termasuk keupayaan ‘zoom’ sehingga 200 kali, sekali gus membolehkan pengesanan nombor pendaftaran kenderaan dilakukan dengan jelas walaupun dari jarak jauh dan setiap kesalahan yang dirakam akan dijadikan bahan bukti bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.

“Pendekatan ini membolehkan pemantauan trafik dilaksanakan secara lebih menyeluruh, tepat dan berkesan termasuk mengesan kesalahan yang sukar dikesan melalui pemantauan konvensional di darat,” katanya.

Tambahnya, fokus utama penggunaan dron adalah langkah proaktif dalam mengurangkan kadar kemalangan selain meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Ia bukan untuk mencari salah, tetapi mengesan kesalahan yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Bagi memastikan pemantauan lebih efektif, sebanyak enam unit dron digunakan sepanjang tempoh perayaan dan teknologi ini akan terus digunakan selepas ini disebabkan keberkesanannya dalam mengesan kesalahan lalu lintas secara lebih menyeluruh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 288 lokasi panas (hotspot) sudah dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan analisis data kemalangan dan kesalahan lalu lintas membabitkan laluan utama, lebuh raya serta jalan persekutuan yang mencatatkan kadar risiko tinggi.

“Daripada jumlah berkenaan, tiga negeri yang mencatatkan lokasi hotspot tertinggi ialah Kelantan dengan 53 lokasi, Sarawak (50) dan

Perak (34).

“Justeru, pihak JPJ mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan khusus di lokasi-lokasi hotspot kemalangan dan kesalahan trafik di seluruh negara sempena pelaksanaan Ops HRA 2026,” katanya.-BH Online