Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India semalam menerusi sesi dialog Harmoni MADANI mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam menangani perbezaan secara berhemah. 

Langkah positif itu turut menunjukkan sebarang perbezaan hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, bukannya konfrontasi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata dalam konteks semasa, dengan berlaku beberapa insiden membabitkan sensitiviti agama dan kaum yang tular di media sosial, ia menunjukkan pentingnya ruang dialog, literasi perpaduan serta sikap saling menghormati terus diperkasa.

Jelasnya, perkara itu selari dengan anjuran semua agama yang mengangkat nilai keamanan, persaudaraan, saling menghormati serta keperluan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni.

“KPN menyambut baik inisiatif yang diambil (NGO) Islam dan wakil komuniti India yang telah mengadakan pertemuan bagi mencari titik pendamaian berhubung isu yang timbul kebelakangan ini. 

” Sejarah telah membuktikan bahawa asas perpaduan negara ini terbina melalui rundingan, tolak ansur dan persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

“Kesepakatan ini kemudiannya dimuktamadkan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, dokumen tertinggi negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan, keadilan dan keseimbangan antara kepelbagaian kaum, agama dan budaya, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, berlangsungnya sesi dialog Program Harmoni MADANI yang dianjurkan NGO mewakili masyarakat Melayu dan India bagi menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum itu dinoktahkan segera dengan mencari titik perdamaian menyeluruh.

Menerusi sesi dialog itu, mereka sepakat supaya jalan perdamaian melalui rundingan perlu diadakan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

Tegas Aaron, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin kebebasan beragama, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak kaum lain.

Justeru, Aaron berkata, ia adalah formula unik Malaysia yang perlu terus difahami, dihormati dan dipertahankan semua pihak.

Katanya, langkah itu juga selari dengan komitmen KPN yng menyediakan pelbagai platform untuk merapatkan jurang kefahaman antara rakyat. 

Antaranya termasuk Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama serta pelaksanaan inisiatif Harmoni MADANI yang dilancarkan pada 2024, sebagai wadah memperkukuh dialog antara agama dan budaya secara berterusan.

“Sejak 2023, kementerian telah menyusun pendekatan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi dalam memperkukuh perpaduan negara. 

” Penekanan diberikan kepada penghayatan konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian dan Harmoni Dalam Kepelbagaian sebagai asas realiti masyarakat majmuk Malaysia. 

” Dalam masa yang sama, usaha memperkasakan penghayatan dan pengamalan Rukun Negara dipertingkatkan sebagai nilai teras kehidupan bermasyarakat,” katanya. 

Pada masa ini, katanya, fokus diperkukuh ke arah pembinaan negara bangsa sebagai agenda strategik negara, satu usaha penting untuk menyatukan rakyat Malaysia berteraskan identiti bersama, nilai kebangsaan dan rasa kebersamaan yang melangkaui perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

Pada masa sama, tegasnya, kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan melalui tindakan melampau atau provokatif. 

“Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 jelas memberi kuasa untuk menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama, tetapi penguatkuasaan masing-masing perlu diperbaiki dan dipertingkatkan,” katanya.-BH Online