Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Menangani Sisa E-Waste Haram untuk memperkukuh pendekatan bersepadu pada peringkat nasional.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan cadangan penubuhan jawatankuasa itu dibincangkan pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan NRES Bil 1/2026 yang dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan hari ini, NRES memaklumkan mesyuarat berkenaan menekankan pengukuhan tindakan penguatkuasaan pelbagai isu berkaitan alam sekitar termasuk kemasukan e-waste haram.

“Antara isu utama yang dibincangkan ialah lambakan kontena e-waste di pelabuhan, kesukaran mengenal pasti pemilik kontena dan kilang haram e-waste, kekangan pengurusan barang sitaan serta cabaran dalam proses pelupusan dan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata NRES bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Menangani Isu Kemasukan E-Waste Haram. 

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa terbabit bagi memastikan isu berkaitan e-waste atau sisa elektronik haram dapat diselesaikan secara tuntas dengan pendekatan keseluruhan negara.

Sementara itu, NRES memaklumkan mesyuarat turut meneliti perkembangan operasi penguatkuasaan termasuk Ops Bongkar Kontena dan Ops Hazard bagi mengekang kemasukan buangan berjadual ke negara.

“Sebagai langkah ke hadapan, beberapa cadangan strategik telah dikenal pasti termasuk cadangan penubuhan pejabat cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang.

“Cadangan lain ialah pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 serta pengukuhan pengurusan barang sitaan dan logistik penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan Pasukan Petugas Khas ini akan bermesyuarat secara berkala setiap bulan atau mengikut keperluan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara terselaras, berfokus dan berkesan.

Mesyuarat turut melibatkan penyertaan agensi utama di bawah NRES termasuk JAS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

“Kerajaan komited memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan alam sekitar termasuk kemasukan e-waste haram,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA