Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Konflik geopolitik di negara Teluk tidak menjejaskan penerbangan domestik ketika ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, tiada penerbangan domestik yang dibatalkan setakat ini, sebaliknya banyak penerbangan ditambah menjelang musim perayaan Aidilfitri.

“Tidak ada (penerbangan dibatalkan), malah hari raya kita tambah penerbangan. Yang dibatalkan itu hanya membabitkan kawasan yang ada risiko,” katanya pada sidang media pengumuman garis panduan kenderaan de-controlled dan pick-up bagi membawa barangan, di kementeriannya, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan

Loke berkata, kerajaan tidak mahu syarikat penerbangan menggantung atau membatalkan penerbangan masing-masing kerana ia memberi implikasi kepada aktiviti ekonomi.

Justeru, beliau berkata, kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan untuk melihat kaedah terbaik mengurangkan kos operasi industri itu.

“Saya ada mesyuarat dengan mereka kerana kerajaan mahu syarikat penerbangan ini terus beroperasi seperti biasa.

“Jadi, kementerian akan membentangkan cadangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos ditanggung syarikat penerbangan,” katanya.

Loke mengakui kesan konflik di Asia Barat membuka ruang kepada syarikat penerbangan luar negara Teluk untuk menampung penambahan permintaan penerbangan ke destinasi lain khususnya ke Eropah. 

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan syarikat penerbangan negara Teluk masih menggantung operasi penerbangan masing-masing kecuali untuk tujuan repatriasi. 

“Syarikat penerbangan kita perlu mengambil langkah bagaimana menampung permintaan itu sebab jika dulu pergi ke Eropah, ramai menggunakan syarikat penerbangan negara Asia Barat.

“Kini di sana adalah zon perang, jadi penerbangan berkurangan manakala harga melambung. 

“Ia membuka ruang untuk syarikat penerbangan (tempatan) menampung permintaan itu terutama ke Eropah. Contohnya Malaysia Airlines ada permintaan lebih tinggi ke London, Paris dan sebagainya kerana tidak ada lagi alternatif di Asia Barat ketika ini,” katanya.-BH Online