KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau perkembangan krisis geopolitik di Asia Barat serta lonjakan harga minyak global sebelum membuat sebarang keputusan, termasuk kemungkinan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menangani kesan ketidaktentuan geopolitik global susulan krisis di Asia Barat dengan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kestabilan ekonomi negara dalam jangka masa terdekat.
Beliau berkata, langkah seperti pelaksanaan pakej rangsangan hanya akan dipertimbangkan selepas kerajaan menilai perkembangan situasi semasa secara menyeluruh, khususnya sama ada krisis berkenaan berlarutan atau sebaliknya.
“Saya rasa yang pentingnya kita belum tahu lagi daripada krisis yang ada di Timur Tengah ini sama ada akan berlanjutan atau tidak. Kalau ia tidak berlanjutan, saya rasa tidak perlulah kita buat begitu (pakej rangsangan ekonomi).
“Pada masa sekarang pendekatan kita, kita tengok dari segi jangka masa pendek, kita memastikan kestabilan yang ada,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Hari Penglibatan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata fokus kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan jaminan bekalan dalam negara kekal terpelihara, sekali gus memastikan kestabilan sistem bekalan tenaga berada pada tahap baik.
Beliau berkata penghantaran bekalan ke stesen minyak serta kepada utiliti tenaga elektrik ketika ini juga berjalan dengan stabil.
Katanya, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun terdapat tekanan akibat kenaikan harga global, kerajaan terus membantu rakyat melalui skim BUDI RON95, BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan banyak membantu rakyat kerana kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi pada tahap yang ditetapkan, manakala bagi barangan yang tidak disubsidi, harganya tertakluk kepada mekanisme harga automatik (APM) yang mengikuti harga pasaran semasa.
Beliau berkata pendekatan kerajaan juga tertumpu kepada usaha memastikan kestabilan dalam jangka masa sederhana dan panjang dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan di bawah kerajaan.
Usaha itu, katanya, bertujuan memastikan bekalan tenaga negara terus stabil, dengan syarikat seperti Petronas, syarikat minyak lain serta Tenaga Nasional Bhd akan terus menilai langkah menambah stok bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik.
“Jadi untuk buat masa sekarang, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan kita menolong rakyat di masa kita nampak tekanan yang ada,” katanya.
Amir Hamzah berkata pada masa sama kerajaan juga menggalakkan rakyat serta syarikat dalam negara supaya mengambil langkah lebih berwaspada.
Beliau berkata sekiranya terdapat usaha yang boleh dilakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga atau meningkatkan kecekapan penggunaan, langkah berkenaan amat digalakkan kerana ia dapat membantu mengurangkan kesan tekanan harga.
“Kita perlu memahami bahawa kesan daripada situasi ini bukan hanya membabitkan Malaysia, tetapi merupakan isu global. Oleh itu, kesan terhadap harga sememangnya tidak dapat dielakkan.
“Namun, buat masa ini pendekatan kerajaan adalah untuk membantu menampung tekanan kenaikan harga tersebut agar beban terhadap rakyat dapat dikurangkan,” katanya.-BH Online
