KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat julung kalinya melaksanakan kerja penurapan secara menyeluruh di semua 51 lokasi perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliannya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata pihaknya memperuntukkan RM300 juta secara khusus bagi kerja-kerja penyelenggaraan PA dan PPR termasuk kerja penurapan jalan pada tahun ini.
“Inisiatif ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya jalan di PA dan PPR di sini (Kuala Lumpur) diturap secara menyeluruh melalui pelaksanaan berskala besar oleh DBKL.
“Bagi suku pertama tahun ini, kerja penurapan jalan sudah siap dilaksanakan di tujuh lokasi iaitu PPR Beringin; PPR Wahyu; PPR Gombak Setia; PPR Hiliran Ampang; PPR Air Panas, PA Hang Tuah dan PA Seri Perlis 1,” kataya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berhubung projek penyelenggaraan PA dan PPR di PA Hang Tuah, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.
Fadlun berkata, dua lokasi lagi dalam proses pelaksanaan membabitkan PPR Sungai Bonus dan PPR Seri Malaysia.
“Keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan projek ini dijangka siap sepenuhnya di semua lokasi berkenaan pada hujung tahun ini.
“Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan DBKL untuk memastikan warga PA dan PPR dapat menikmati persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, pihak DBKL memperuntukkan lebih RM200 juta untuk kos operasi PA dan PPR membabitkan kerja-kerja pembaikan elektrik, paip serta pembetungan.
“Pada masa sama, sebanyak RM95 juta diperuntukkan bagi kos pembangunan termasuk mengecat PA dan PPR.
“Terdapat beberapa faktor menyebabkan kerosakan di PA dan PPR termasuk bangunan sudah lama yang memerlukan kos penyelenggaraan tinggi,” katanya.-BH Online
