MASJID TANAH: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Kerajaan Perpaduan di Melaka supaya mempergiat usaha mendekati rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan turun padang menjelang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata, pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) diperkenalkan kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti kesulitan dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, usaha itu juga dilaksanakan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menghimpunkan wakil rakyat kerajaan serta Ahli EXCO negeri untuk turun ke kampung bagi menyantuni golongan memerlukan.
“Kita ada satu lagi pendekatan iaitu MeSRa dan serentak itu kita turut melaksanakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), yang mana semua wakil rakyat kerajaan serta Ahli EXCO negeri akan masuk kampung untuk mencari mereka yang susah dan sakit supaya dapat kita belai, sanjung serta santuni.
“Insya-Allah, tidak lama lagi program WRUR akan kita bawa ke DUN Tanjung Bidara dan sudah pasti selepas itu kita akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika merasmikan Program Dapur Tok Rauf (Gulai Kawah), Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Kasih Ramadan peringkat DUN Tanjung Bidara di Masjid As-Salam Kampung Ayer Hitam Darat, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias serta Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Semalam, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengesahkan PRN Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang susulan penggal DUN ke-15 yang akan berakhir pada 30 Disember depan.
Beliau dilaporkan berkata, suka atau tidak, PRN itu tetap perlu diadakan tahun ini kerana ia adalah proses demokrasi yang ditetapkan mengikut tempoh penggal pentadbiran semasa.
Susulan itu, kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada pentadbiran serta pembangunan negeri sebelum memasuki tempoh pilihan raya penghujung tahun ini.
Sementara itu, sebanyak tiga kawah gulai yang dimasak sendiri Ab Rauf selain 12 kawah dodol dan beberapa periuk bubur pulut hitam yang dimasak secara bergotong-royong diagihkan secara percuma kepada pengunjung.
Katanya, selain dapat menikmati gulai percuma, dodol serta bubur pulut hitam yang disediakan, program itu turut menyemarakkan lagi jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang hadir.-BH Online
