KUCHING : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan masa melawat peniaga dan beramah mesra bersama pengunjung Bazar Ramadan Taman Sukma Ria, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Beliau yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, tiba pada jam 5.30 petang sebelum meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau dan berbual dengan peniaga serta pengunjung di bazar itu yang menempatkan 101 gerai.
Turut bersama dalam kunjungan itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Beliau kemudian bergerak ke Masjid Jamek Negeri bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pimpinan Masyarakat Tempatan Sarawak.
Peniaga ayam penyet, yang hanya mahu dikenali Dayang Shareena, berkata ketika berkunjung ke gerainya, Perdana Menteri sempat menegurnya dan menasihatkan supaya memastikan harga jualan tidak membebankan pengguna.
“Perdana Menteri juga menasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan barang jualan demi keselamatan kesihatan pembeli,” katanya.
Pengunjung, Syaiful Daniel Ibrahim, 30, pula menyifatkan lawatan pemimpin nombor satu negara itu membuktikan keprihatinannya terhadap situasi rakyat pada peringkat akar umbi khususnya golongan peniaga kecil.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ahmad Haziq Raduan, pula berkata jumlah pengunjung meningkat berbanding beberapa hari sebelum ini.
“Mungkin orang ramai mengetahui lawatan Perdana Menteri ke sini, itu yang menjadi tarikan kerana mereka ingin melihat, bersua dengan beliau.
“Syukur, hasil jualan saya turut meningkat hari ini dan harapan kami setiap hari menjelang Aidilfitri ini lebih ramai pemimpin besar datang berkunjung kerana kehadiran mereka akan menarik pengunjung,” katanya.-BH Online
