Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju untuk mengukuhkan lagi agenda pencegahan rasuah negara berasaskan penyertaan semua pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, turut dipersetujui adalah pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer-CeIO) dan pemerkasaan koordinasi strategik antara agensi.

Beliau berkata, kerajaan akan kekal fokus memperkasa agenda tatakelola bagi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras perkhidmatan awam demi menjunjung amanah rakyat dan memperteguh keyakinan terhadap institusi negara.

“Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), saya menegaskan keseriusan isu ketirisan wang awam dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah menjejaskan kesejahteraan rakyat, termasuk kesihatan awam, alam sekitar dan integriti nasional.

“Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai dalam memerangi rasuah, namun usaha ini perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh, membabitkan sektor awam, swasta serta masyarakat.

“Antara dipersetujui di dalam mesyuarat ini ialah pelaksanaan Program CeIO, pengukuhan agenda pencegahan rasuah negara berasaskan penyertaan semua pihak serta pemerkasaan koordinasi strategik antara agensi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.-BH Online