KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha membangunkan ekosistem bersepadu bagi menghubungkan veteran ATM secara lebih strategik menerusi pemetaan pekerjaan berdasarkan lokaliti veteran dan industri.
Melalui kerjasama strategik itu, seramai 5,000 veteran ATM disasarkan bakal menerima penempatan pekerjaan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira, sehingga 2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata skop kerjasama yang dimeterai memberi penekanan kepada padanan pekerjaan, perkongsian data veteran, integrasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) dan MYFutureJobs serta perlindungan sosial yang bakal memanfaatkan kumpulan sasar terutamanya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Usaha ini wajar agar veteran di seluruh pelosok Malaysia dapat merasai nikmat pekerjaan yang bermaruah dan tidak hanya tertumpu di bandar besar sahaja.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat MINDEF menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 – 2035 yang memberi keutamaan untuk memperkasa laluan kerjaya kedua perwira negara dipacu sektor awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pertukaran dokumen MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ia disaksikan Mohamed Khaled dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara); Pengerusi PERHEBAT, Prof Emerita Datuk Dr Roziah Omar dan Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal.
Sementara itu, Ramanan berkata, kementeriannya komited memastikan kadar penempatan minimum sebanyak 45 peratus dapat dicapai bagi setiap intervensi yang dijalankan sepanjang tahun ini.
“Saya tegaskan matlamat kita bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi memastikan veteran ATM memperoleh pendapatan bermaruah setaraf kepakaran serta disiplin tinggi yang mereka miliki.
“Pengambilan mereka bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah merupakan langkah strategik negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.
Berdasarkan perangkaan rasmi bagi tempoh 2020 hingga 2025, Ramanan menjelaskan, seramai 5,530 veteran berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan.
Katanya, sepanjang tahun lalu, seramai 573 veteran memulakan kerjaya baharu dengan sektor pembuatan merekodkan penempatan tertinggi, diikuti perkhidmatan dan teknikal.
Pendaftaran veteran di portal MYFutureJobspula mencecah lebih 14,000, sekali gus membuktikan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan transisi kerjaya yang tersusun.
Sebagai permulaan bagi kerjasama ini, seramai 14 majikan strategik hadir dalam sesi temu duga terbuka yang diadakan serentak dengan majlis MoU terbabit.-BH Online
