KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.086 juta sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan diterima tahun ini bagi menjayakan program penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumbangan itu disalurkan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat korporat bagi menyokong kebajikan anggota ATM yang bertugas ketika musim perayaan.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya pada tahun ini sebanyak 50 syarikat memberikan sumbangan dalam bentuk barangan atau kewangan.
“Sumbangan yang diterima merangkumi RM1.83 juta dalam bentuk kewangan dan RM254,000 dalam bentuk barangan, menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM2.086 juta,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adli Zahari, pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026M di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Mohamed Khaled berkata, seperti umum mengetahui bahawa ramai anggota ATM terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika menyambut Aidilfitri setiap tahun kerana menjalankan amanah mempertahankan negara.
“Saban tahun ramai anggota ATM terpaksa berjauhan daripada keluarga, meninggalkan kemeriahan pagi Syawal serta melepaskan peluang berziarah dengan sanak saudara.
“Semua itu demi amanah kepada negara sama ada menjaga sempadan di darat, laut dan udara mahupun membawa panji negara dalam misi keamanan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan yang disalurkan bukan sekadar pemberian material, sebaliknya simbol penghargaan serta solidariti rakyat Malaysia terhadap pengorbanan anggota ATM.
Dalam pada itu, katanya kejayaan dan kesejahteraan ATM tidak dapat dipisahkan daripada sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor korporat dan masyarakat.
“Pendekatan ‘Whole-of-Government’ dan ‘Whole-of-Society’ (WOGOS) turut diterapkan, di mana sinergi antara kerajaan, sektor korporat serta masyarakat memastikan setiap lapisan rakyat berperanan memperkukuh pertahanan negara.
“Sehubungan itu, saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang tampil memberikan sumbangan bagi menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, ATM dalam kenyataan, berkata sumbangan yang diterima membolehkan pihaknya menyediakan 16,000 beg Aidilfitri untuk diagihkan kepada anggota yang bertugas di seluruh negara dan di misi luar negara, merangkumi Tentera Darat Malaysia (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Barangan sumbangan mula dikumpulkan sejak Februari lalu sebelum dibungkus secara berfasa membabitkan warga ATM, manakala 400 beg terakhir disiapkan oleh ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Antara penyumbang sumbangan kewangan termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan System Consultancy Services Sdn Bhd, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Affin Bank Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Platinum Victory Development Sdn Bhd serta Peluang Kristal (M) Sdn Bhd.-BH Online
