BAGAN DATUK: FELCRA Bhd hari ini mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan & Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berjumlah RM302.9 juta yang babitkan 71,680 peserta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia menjadikan keseluruhan agihan keuntungan 2025 sebanyak RM632.7 juta, merangkumi agihan interim, bulanan dan akhir kepada peserta.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lebih membanggakan apabila pencapaian tahun kewangan 2025 adalah kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun penubuhannya sejak 1966.
“Kejayaan ini menjadi lebih signifikan kerana ia dicapai ketika FELCRA menyambut ulang tahun Jubli Intan, mencerminkan kematangan organisasi serta keupayaan berterusan syarikat dalam memperkasa ekonomi luar bandar.
“Pengumuman yang dibuat sebelum sambutan Aidilfitri ini membawa khabar gembira kepada peserta FELCRA dalam membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.
Selain Ahmad Zahid, hadir sama ke majlis itu adalah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohamed Ismi Abdul Majid.
Ahmad Zahid berkata prestasi kukuh itu didorong oleh peningkatan harga komoditi dan pengukuhan produktiviti ladang khususnya kelapa sawit, di mana purata harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada 2024 kepada RM4,283.33 pada 2025.
Katanya, ianya kenaikan sebanyak 2.42 peratus, dengan lonjakan ketara 23.7 peratus dicatatkan pada Januari 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, harga BTS keseluruhan turut meningkat daripada RM794 kepada RM850 satu tan yang bersamaan kenaikan tujuh peratus selain dari segi produktiviti dicatatkan hasil per hektar ladang meningkat daripada 17.02 tan metrik sehektar kepada 18.15 tan metrik sehektar, iaitu pertumbuhan 6.6 peratus.
“Pendapatan kasar per hektar turut bertambah daripada RM13,280 kepada RM15,039, manakala keuntungan bersih per hektar melonjak daripada RM4,462 kepada RM5,893.
“Justeru mencatat peningkatan signifikan sebanyak 32.1 peratus. Walaupun terdapat peningkatan kos pengurusan secara sederhana, kadar pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi memperkukuh margin keuntungan keseluruhan projek,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Ismi berkata, pencapaian itu adalah manifestasi komitmen seluruh warga FELCRA dalam memastikan kecekapan operasi dan disiplin tadbir urus terus diperkasakan.
Katanya, pencapaian itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja antara yang terbaik dalam sejarah FELCRA sejak ditubuhkan, malah diraikan ketika FELCRA menyambut Jubli Intan sempena ulang tahun ke-60 penubuhan.
“Asas pengurusan yang kukuh, pemantauan kos berdisiplin serta tumpuan terhadap peningkatan produktiviti membolehkan FELCRA menjana pulangan mampan kepada peserta walaupun dalam suasana pasaran komoditi yang mencabar,” katanya.-BH Online
