KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan mengumumkan insentif khas sekali beri sebanyak RM1,000 kepada 2,196 petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri.
Insentif itu melibatkan pengurus dan penolong pengurus di 1,098 NADI yang berada di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan merupakan penghargaan kerajaan terhadap komitmen petugas NADI yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan inisiatif komunikasi rakyat serta memupuk pemerkasaan digital di peringkat akar umbi.
“Dan mereka tidak pernah menerima apa-apa bonus sempena Aidilfitri ataupun apa-apa festival.
“Mereka mendapat bonus sebanyak RM1,000 seorang.Jadi,ini pertama kali dalam sejarah NADI,dalam sejarah MCMC dan kita umumkan bahawa kerajaan MADANI semua pengurus mendapat bonus buat pertama kali ataupun duit raya,” katanya demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bazar Raya NADI 2026 di NADI Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini.
Hadir sama, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Perasmian berkenaan menandakan bermulanya penganjuran Bazar Raya NADI 2026 secara serentak di seluruh negara pada 14 Mac depan.
Lebih 10,000 usahawan dijangka menyertai bazar berkenan yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan dengan kerjasama pelbagai agensi.-Berita RTM
