Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 3 MAC – Usaha penambahbaikan Garis Panduan Penyertaan Asing dalam Sektor Perdagangan Pengedaran di Malaysia yang sedang dilaksanakan akan mengambil kira pandangan pemegang taruh dan amalan terbaik semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu penting bagi memastikan dasar diguna pakai kekal relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi serta mengambil kira aspek kelestarian perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Jemaah Menteri pada 6 Februari lepas bersetuju menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas diketuai Kementerian Kewangan bagi memperincikan langkah penambahbaikan berkaitan.

“Fungsi jawatankuasa berkenaan adalah untuk mengenal pasti penambahbaikan dasar, kerangka perundangan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam menangani kebimbangan risiko lambakan barangan asing dalam pasaran tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata garis panduan itu merupakan instrumen pentadbiran yang penting bagi memastikan permohonan syarikat milikan asing yang ingin menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di negara ini, dinilai secara teratur, telus dan selaras dengan dasar serta kepentingan ekonomi domestik.

Selain itu, ia juga merupakan satu keperluan dalam menjamin keseimbangan antara keterbukaan pasaran dan perlindungan kepentingan peniaga tempatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), disamping memastikan penyertaan asing memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.-Berita RTM