KAJANG, 27 Februari – Seluruh lapisan kepimpinan masyarakat dan jentera kerajaan diseru memanfaatkan bulan Ramadan bagi menyantuni golongan rakyat yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelarasan gaji, namun masih terdapat kelompok kecil masyarakat yang tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada bantuan berkenaan.
“Kita jarang bicara soal mereka dan kita di semua peringkat agak sibuk dalam urusan masing-masing. Jadi saya nak ambil kesempatan ini menyeru semua jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung serta pemimpin belia untuk tingkatkan amal kebajikan kita.”
Perdana Menteri berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang hari ini.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat menjadikan Ramadan sebagai kesempatan mengangkat martabat semua lapisan masyarakat dengan meringankan beban mereka.
Ujarnya lagi, bulan kemuliaan itu seharusnya dijadikan peluang terbaik untuk mengenal pasti individu, warga emas atau pesakit di setiap pelosok kampung yang memerlukan bantuan segera.-Berita RTM
