KOTA KINABALU, 27 Februari – Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 5,860 orang daripada 2,067 keluarga pada tengah hari ini berbanding 5,532 orang daripada 1,943 keluarga yang direkodkan 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiga daerah merekodkan peningkatan penduduk terkesan, iaitu Tenom dengan 3,544 orang daripada 1,207 keluarga, diikuti Beaufort seramai 1,462 orang daripada 513 keluarga dan Membakut melibatkan 435 orang daripada 171 keluarga.
Kesemua penduduk terjejas ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Rabu lalu.
Di Sipitang, jumlah penduduk terjejas menurun kepada 340 orang daripada 151 keluarga berbanding 421 orang daripada 176 keluarga sebelum ini, manakala Sook kekal dengan 79 orang daripada 25 keluarga.
Secara keseluruhan, jumlah kawasan terkesan banjir di lima daerah kekal sebanyak 146 kampung.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-Berita RTM
