Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 26 Februari– Pencapaian membanggakan pelumba muda negara, Hakim Danish di pentas dunia menjadi bukti keberkesanan pembangunan sukan permotoran tanah air, sekali gus menyuntik keyakinan terhadap masa depan sukan itu.

Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk memperbanyakkan lagi program pembangunan sukan di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pentas dunia.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata kerjasama dengan semua pihak berkepentingan akan terus dipergiat bagi memastikan ekosistem sukan negara sentiasa subur dengan bakat-bakat baharu.

“Kita mahu memperbanyakkan lagi program sukan di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai bakat seperti Hakim Danish. Beliau merupakan anak jati Terengganu dan tidak mempunyai latar belakang keluarga dalam arena MotoGP atau sukan permotoran sebelum ini.”

“Namun, hasil pembangunan sukan yang tersusun di peringkat akar umbi, kita berjaya mencungkil dan membentuk atlet berpotensi tinggi seperti beliau. Sehubungan itu, KBS akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat pada masa hadapan, insya-Allah,” kata Dr. Mohammed Taufiq kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Hakim Danish dan pasukannya dirai dan diberi peluang duduk semeja bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Wilayah, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut bertujuan memberikan suntikan semangat kepada pelumba muda itu untuk terus mengharumkan nama Malaysia, terutamanya dalam aksi pembukaan musim Grand Prix Thailand, Mac ini.-Berita RTM