Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit kebelakangan ini mencerminkan persekitaran luaran bertambah baik serta prospek ekonomi Malaysia yang kukuh. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata nilai ringgit meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu dan turut mencatat kenaikan antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau yang lain.

“Kadar kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS ini adalah yang tertinggi dalam kalangan rakan serantau. 

“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia, seperti dolar Singapura, renminbi China dan USD, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus sepanjang tempoh tersebut.

“NEER memberikan perspektif yang lebih menyeluruh terhadap prestasi dan nilai ringgit berbanding dengan kadar pertukaran dua hala seperti kadar dolar AS/ ringgit,” katanya menjawab soalan Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Setakat semalam, Amir Hamzah berkata, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.09 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar AS. 

Dari segi perkembangan global, beliau berkata, penurunan kadar faedah di AS dan peralihan jangkaan ke arah persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama global menyokong pengukuhan nilai ringgit. 

“Pengukuhan nilai ringgit turut disokong oleh sentimen pelabur yang positif dalam persekitaran perdagangan dunia yang terus berkembang serta pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) berterusan.

“Pengukuhan ini turut didorong komitmen berterusan kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan memastikan kedudukan fiskal yang mampan serta menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa. Perkembangan ini dijangka terus menyokong prestasi ringgit dalam jangka sederhana,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Fang Bin Suan, beliau berkata, ketika ringgit mengukuh ketika ini, nilai eksport kasar negara terus mencatatkan perkembangan positif, dimana pada tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport kasar lebih tinggi sebanyak 6.5 peratus.

“Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh eksport dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal kukuh. Oleh itu, kesan keseluruhan pergerakan nilai ringgit terhadap daya saing perdagangan negara dijangka tetap terkawal. 

“Malah, prestasi eksport Malaysia tidak bergantung semata-mata pada faktor kos dan perkembangan ringgit. Kelebihan daya saing eksport negara turut disokong oleh keupayaan pengeluaran yang mantap serta tahap integrasi yang kukuh dalam rantaian bekalan global,” katanya. -BH Online