Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO tidak perlu mengadakan referendum dalam kalangan ahlinya berhubung kerjasama dengan DAP.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perkara itu tidak perlu dilakukan malah mempersoalkan kenapa ianya perlu diadakan.

“Kenapa perlu referendum? Tak perlu referendum.

“Saya menghormati pendapat peribadi tapi jangan memaksa semua orang menghormati pendapat peribadi itu,” katanya kepada media selepas merasmikan International Halal Showcase di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil untuk UMNO mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan semua tiga juta ahli parti itu mengenai hala tuju sama ada terus bekerjasama dengan DAP atau sebaliknya.

Susulan berakhir pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram minggu lalu, Isham mendakwa UMNO kehilangan kira-kira 27,000 undi orang Melayu dalam kedua-dua PRK tersebut.

Sebelum ini, Isham juga mengeluarkan kenyataan menongkah arus dengan ketetapan Umno yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong hanya menitahkan UMNO menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) dan bukan bersama PH dalam menghadapi pilihan raya.

Ahmad Zahid juga enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Isham akan dipecat minggu ini berikutan kenyataan kontroversi itu.

“Dia lebih tahu daripada saya… itu masalahnya,” katanya. –Media Perpaduan