Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW YORK: Petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyeru lebih banyak negara menerima pesakit dari Gaza susulan pembukaan semula sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir, lapor Xinhua.

Menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) orang awam harus dibenarkan keluar dan kembali secara sukarela dan selamat, seperti yang dikehendaki undang-undang antarabangsa, sambil menjelaskan yang bekalan kemanusiaan penting mesti masuk dalam jumlah mencukupi dan dengan sekatan yang minimum melalui Rafah serta laluan sempadan lain.

OCHA berkata lebih 18,500 pesakit, termasuk 4,000 kanak-kanak, menunggu pemindahan perubatan dari Gaza untuk rawatan yang tidak tersedia di lokasi.

Pilihan paling berkesan ialah meneruskan pemindahan pesakit ke Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta membaik pulih fasiliti kesihatan yang rosak di Gaza.

“Sehingga itu berlaku, OCHA menyeru negara anggota menerima lebih ramai pesakit supaya semua orang mendapat rawatan yang mereka perlukan,” kata pejabat itu.

OCHA menyatakan yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong usaha pemindahan perubatan dari Gaza.

Pembukaan terhad sempadan Rafah membolehkan sesetengah pesakit dan pengiring mereka keluar terus ke Mesir, manakala yang lain melalui sempadan Kerem Shalom yang dikawal Israel.

Pejabat itu menjelaskan Program Pembangunan PBB (UNDP) bersedia menguruskan bas untuk membawa pesakit kembali dari pintu sempadan Rafah ke hospital Nassar di Khan Younis, apabila OCHA dan rakan kerjasama mewujudkan kawasan penerimaan.

“Kaunter penerimaan dijaga oleh pakar psikologi dan perlindungan serta dilengkapi barangan pemakanan, bahan maklumat dan akses Internet untuk memberikan sokongan segera dan rujukan agar mereka dapat mengakses perkhidmatan kritikal mengikut keperluan,” menurut OCHA.

Pejabat itu juga menyatakan kebimbangan berterusan terhadap kesan serangan berterusan ke atas orang awam di Gaza.

Susulan laporan Kementerian Kesihatan Gaza mengenai puluhan mangsa yang cedera hujung minggu lalu, OCHA berkata pasukan kemanusiaan sedang menilai kerosakan dan keperluan baru dalam kalangan orang awam.

Puluhan keluarga hilang tempat berteduh akibat serangan yang merosakkan khemah sementara mereka.

PBB dan rakan kerjasama menyediakan keluarga terlibat tempat perlindungan sementara dan barangan penting lain.– BERNAMA