Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MALAYSIA komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan, selaras Sidang Kemuncak Rio De Janeiro 1992.

Menerusi hantaran Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agenda mengekalkan hutan negara menjadi perbincangan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 (MTN-80), hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat berkenaan turut membincangkan dasar pelupusan tanah kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) selaku penyedia perkhidmatan elektrik negara tanpa mengetepikan kuasa diperuntukkan Perlembagaan kepada Pihak-pihak Berkuasa Negeri.

“MTN-80 juga bersetuju dengan keputusan Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang membabitkan kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

“(Turut dipersetujui) syarat kelayakan penyediaan dan perakuan laporan cari gali dan penjelajahan hanya oleh ahli geologi berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera profesional dengan perakuan amalan.

“Aspek ekonomi dan kemampanan adalah perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Anwar juga menekankan, mesyuarat MTN adalah wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan negeri berkaitan dasar yang menyentuh tata kelola pentadbiran tanah konklusif, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan. – Media Perpaduan